Cempaka Di Langit Rajab
Sipnosis

Sebuah kisah cinta yang melangkaui tiga generasi. Tiga wanita, Karmini, Karmila dan Cempaka, bagai digenggam takdir hidup yang penuh berliku. Mereka ini membawa semangat emansipasi yang sangat luar biasa. Dalam lembut ada tegasnya, dalam patuh ada bangkitnya. Karmini mengharungi keperitan hidup di zaman perang bersama suami, Daeng Amid. Hidup serba sukar dan sulit. Daeng Amid yang terasuh dalam lingkungan budaya dan falsafah masyarakat Bugis, berusaha mempertahankan perkahwinannya. Karmila pula terpaksa menelan segala luka di dada saat cintanya tidak kesampaian. Wanita berjiwa cekal ini bagaimana pun mengalih segala rasa kecewa dengan meneruskant pencarian mengejar ilmu biarpun ada ketika hidupnya sentiasa berlinang air mata. Percintaan yang tidak kesampaian bersama Aidit, menjadikan dirinya menjadi manusia yang sangat tabah. Cempaka, gadis yang sentiasa berbangga dengan darah Bugis yang mengalir di tubuhnya, menjadi saksi kepada kehidupan yang penuh onak dan berduri ibu tercinta. Kasih ikhlas Hizairi untuknya sukar diyakini. Kehidupan pahit yang dilalui oleh ibu Cempaka menjadikan hati gadis ini begitu keras terhadap lelaki. Dia berjanji dia tidak akan membiarkan hidupnya menjadi seperti ibunya yang banyak berkorban kerana seorang lelaki. Dia membesar sebagai seorang wanita yang terlalu berhati-hati apabila berbicara tentang perasaan. Berdamai dengan takdir menjadi pilihan terbaik. Cempaka akhirnya belajar untuk memaafkan biarpun ia umpama meletakkan garam pada luka jiwa yang tersimpan sekian lama.